KOSMO Online – Usah Malu Mengepam Susu Badan
Copy & paste dari Kosmo Online (Credit to: FARHANA HANIM MOHD. MYDIN) hari ni, salah satu pembakar semangat saya untuk terus memupuk semangat juang iniAkhir2 ni memang rajin melepak kat blog Sarakids menambah ilmu di dada. Sorry kalau ada yang bosan akhir2 ni sebab banyak cerita pasal Breasfeeding saja. Tuan blog tengah kemaruk BF

MENYUSU badan kini sudah kembali sebagai  trend malah, ramai ibu muda  pada masa kini tanpa mengeluh tetap akan  mencari sudut privasi bagi  menyusukan anak walaupun di pusat  beli-belah, kedai makan mahupun dalam  majlis keramaian.
Jika tidak diberi menyusu terus dari   payu dara, lambakan jenama dan  jenis pam susu badan manual mahupun  elektrik menjadikan wanita yang  berkerjaya juga mampu memberikan susu  badan secara eksklusif kepada bayi  mereka.
Menyusukan anak secara eksklusif  bermakna bayi disusukan dengan susu  ibu sahaja tanpa diberi air masak,  susu formula atau makanan tambahan  lain selama enam bulan dan  meneruskannya sehingga dua tahun.
Justeru itu, pemilihan pam susu yang  bersesuaian perlu  dititikberatkan untuk mengelakkan proses mengeluaran  susu tidak  terganggu akibat kejutan terutama dari segi sedutan.
Menurut Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah   Farhan Abdul Fattah, pemilihan pam yang bergred hospital amat penting   kerana ia lebih selesa digunakan, mengikut sedutan seperti mulut bayi   selain tidak menyakitkan.Menceritakan lebih lanjut, wanita yang  mesra disapa Farah, 30,  mencadangkan supaya ibu-ibu yang bekerja  membuat kaji selidik menerusi  Internet, rakan-rakan yang berpengalaman  ataupun berjumpa dengan pakar  laktasi sebelum membeli gajet tersebut.
Katanya, sekiranya tersilap memilih  kerana mahu yang murah, mungkin  pam tersebut tidak bergred hospital  sekali gus membantutkan proses  pemerahan susu apabila payu dara ibu  berasa sakit dan tidak selesa.
“Pemilihan pam yang betul sangatlah  penting kerana ciri-ciri pam yang  sepatutnya dipilih adalah sedutan  yang menyerupai hisapan mulut bayi,”  jelasnya.
Tambahnya, bagi ibu yang bekerja, lebih  mudah sekiranya mereka  memilih pam berganda (double-pumping) kerana ia  amat menjimatkan masa,  iaitu mereka boleh memerah susu pada kedua-dua  belah payu dara secara  serentak untuk tempoh 20 hingga 30 minit.

Selain pemilihan pam susu, ibu juga  sudah boleh mula mencari produk  penyusuan susu ibu di pasaran seperti  beg penyejuk, gel ais dan beg yang  bersesuaian untuk memudahkan ibu  semasa hendak mula bekerja nanti.
Kata Farah, susu ibu boleh disimpan  dalam peti sejuk dua pintu (pintu  atas) selama tiga bulan, peti sejuk  satu pintu selama dua minggu dan  peti sejuk beku selama enam bulan.
Bagi wanita yang bekerja, memang diakui,  pada mulanya pasti ramai  yang agak malu untuk melakukan proses  mengepam di tempat kerja yang  sudah tentu menarik mata nakal rakan  lelaki yang memandang.
“Sebenarnya mudah sahaja untuk mengepam  di pejabat, yang paling  penting pemilihan baju serta pakaian dalam yang  mudah untuk diselak  untuk mencekup corong pam susu dengan mudah.
“Selain itu, pemilihan pam elektrik yang  kurang mengeluarkan bunyi,  malah boleh juga ditempatkan motor pam itu  di dalam beg khas untuk  mengurangkan gegaran dan juga bunyi pam,”  katanya yang turut mereka pam  elektrik jenama sendiri, Modu hasil  kerjasama dengan Insan iaitu sebuah  syarikat di Korea.
Kelebihan susu badan
Bagi ibu yang meninggalkan anak di rumah  pengasuh, oleh kerana  kebanyakan pengasuh sudah terbiasa memberikan  susu formula kepada bayi  di bawah jagaan mereka, ia menyebabkan  kemungkinan bekalan susu perahan  yang disediakan tidak mencukupi selama  di rumah pengasuh.
Ini kerana ramai  yang keliru mengenai kuantiti susu  diperlukan oleh bayi yang membesar dari bulan ke bulan.
Ia menyebabkan ramai ibu berada dalam dilema sama ada terus memberi anak susu badan apabila si kecil di bawah jagaan pengasuh.
Nasihat Farah, konsep permintaan dan  pembekalan perlu difahami ibu   supaya mereka tidak tersalah anggap  dengan kebolehan badan menghasilkan  susu untuk anak-anak.
“Sebenarnya ramai ibu yang tidak tahu  bahawa pengambilan susu perahan  oleh bayi dari umur satu bulan hingga 6  bulan adalah sama dan tidak  berubah. Ia adalah lebih kurang tiga auns  sekali minum dengan empat  hingga lima kali dalam tempoh ibu bekerja.
“Diakui pada awalnya, bayi akan merengek  dan memberi isyarat seperti  mahu menghisap susu lagi, namun ibu boleh  melatih pengasuh untuk  mendukung, bermain dan memberi lebih perhatian  kepada bayi.
“Ini kerana kebiasaannya ramai yang   beranggapan susu badan harus  ditambah untuk bayi  seiring dengan  peningkatan usia sehingga 6 bulan.
“Bagaimanapun, pendapat itu mungkin hanya sesuai untuk  susu formula sebagaimana yang tercatat pada label pada tin.
“Keunikan susu ibu adalah apabila Allah  telah pun menetapkan  khasiatnya mengikut keperluan umur,” jelasnya  sambil menerangkan  bayi  sememangnya mempunyai naluri menghisap namun,  keadaan ini bukanlah  bermakna bayi tidak cukup susu.

SUSU badan yang dipam boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan antara tiga hingga enam bulan.
Pengalaman sendiri
Berkongsi pengalaman  sebagai wanita  yang bergelar ibu, Farah juga  menginginkan yang terbaik buat tiga orang  buah hatinya, Puteri Sara  Azalea, 4, Puteri Syasya Adalea, 3, dan  Putera Shafik Adrian, 4 bulan.
Isteri kepada seorang jurutera, Saiful  Azwan Rasidi itu sedar perkara  asas yang terbaik untuk anak-anaknya  sejurus selepas dilahirkan adalah  dengan memberi susu ibu secara  eksklusif.
Lulusan bidang Mikrobiologi dari  Universiti Teknologi Mara itu  sanggup meninggalkan jawatan sebagai  pensyarah di salah sebuah institusi  pengajian tinggi swasta selepas dia  melahirkan anak sulungnya.
“Saya akui dulu semasa anak sulung, saya  kurang pengalaman dan  persediaan. Malah, ketika anak saya berumur 8  bulan, saya diberikan  rezeki untuk mengandungkan anak kedua pula,  ketika itulah saya berhenti  memberi susu badan kepada anak sulung  kerana mendengar cakap orang yang  lebih tua.
“Ada yang kata tidak elok untuk  kesihatan bayi yang dikandung kerana  bimbang, khasiat makanan ibu yang  sepatutnya diambil bayi dalam  kandungan, ‘dicuri’ anak yang sedang  menyusu,” katanya yang berjaya  melengkapkan kursus penyusuan yang  melayakkannya bergelar kaunselor  laktasi dari Pusat Perubatan  Universiti Malayia (PPUM).
Enggan mengulangi kesilapan pertama, Farah memilih menyusu secara eksklusif bagi anak kedua dan ketiganya.
“Ia adalah nikmat tak ternilai bagi  seorang ibu, malah sokongan  daripada orang tersayang iaitu suami amat  saya hargai,” katanya yang  ternyata puas kerana dapat menyusukan  anak-anaknya tanpa susu formula.
Dengan kesedaran yang ada, Farah  bertekad  menubuhkan sebuah pusat  sehenti bagi barangan bayi dan  gajet  lengkap untuk penyusuan susu ibu  yang diberi nama Sarakids.
Sarakids kini mempunyai lima cawangan utama seluruh negara dan turut melebarkan sayapnya ke Brunei, Singapura dan Korea.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sarakids, boleh ke laman web  www.sarakids.com atau ke kedai di alamat 42-1, First Floor, Jalan Opera L  U2/L, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.




