Imbasan Ultrasound – Apa Yang Patut Kita Fahami

5:05 PM 0 Comments A+ a-

Next topic saya rasa bagus untuk dikongsi ialah “Imbasan Ultrasound”. Sepanjang saya mengandung kali ni, setiap kali check up especially dengan Dr. Khor dia akan buat ultrasound. Mula2 terdetik dalam hati saya, takut kekerapan buat ultrasound ni akan effect pada baby saya. Saya dan En. Nazir cuma mampu bertawakkal pada Allah, hanya Dia yang Maha Mengetahui. Saya tahu doktor bukan saja2 nak scan banyak2 kali, sebab sejarah keguguran saya 4 kali tu, jadi doktor nak memantau lebih kerap lagi takut2 ada kebarangkalian janin tak membesar macam yang sebelum2 ni.

Cuma apa yang saya nak tekankan di sini, bila kita buat ultrasound ni bukan semata2 untuk tahu janin bayi apa, boy ke girl (saya ada terbaca dan dengar orang kata, “tak nak scan sebab nak surprise”). Itu pendapat masing2kan. Pada pendapat saya, tak salah kita scan untuk tahu keadaan rahim dan janin yang kita kandungkan takut2 ada yang tak kena. Ianya cuma satu kebetulan dan rezeki, bila masa doktor tengah scan tiba2 baby pun tunjukkan ‘tut’ nya. Macam baby saya alhamdulillah rezeki, sejak semakin membesar ni, bila scan time tu la dia duk terkangkang ;) jadi rezeki saya dan En. Nazir la dapat tengok jantina baby kami. Walaupun dalam hati ikhlas saya katakan yang kami tak ambil kisah langsung dapat baby boy ke girl, yang penting sihat dan selamat. Kalaulah tiba2 nanti jantinanya lain dari yang di scan, kami tetap bersyukur dengan anugerah Allah ni :)
Setakat ni saya tak pernah lagi share hasil2 ultrasound yang ada. Nanti ya, saya suruh En. Nazir snapkan gambar sebab kat otak n idah ada idea nak bagi gambar2 tu nampak menarik untuk disimpan jadi koleksi sepanjang zaman :) Nak suruh saya snap sendiri memang ke laut la hehehe.

Oklah, silalah baca dan fahami info kat bawah ni mengenai ultrasound. Enjoy reading! :)

credit pic to en.google

Apakah yang dimaksudkan dengan imbasan ultrasound?
Imbasan ultrasound ialah sejenis alat diagnostik masa kini yang sangat berguna untuk memantau pergerakan bayi melalui imej dinamik yang digambarkan pada skrin monitor. Gelombang bunyi berfrekuensi sangat tinggi antara 3.5-7.0 megahertz (iaitu 3.5 ke 7.0 juta pusingan per saat) lazimnya digunakan. Gelombang ini dipancarkan dari transduser yang diletakkan di abdomen wanita dan digerakkan untuk melihat (menyuluh seperti lampu picit) kandungan rahim. Sinaran ultrasound yang berulang-ulang akan mengimbas bayi dan dipantulkan semula ke transduser yang sama. Maklumat yang diperolehi dari pelbagai pantulan ini akan dibentuk semula menjadi gambar di skrin monitor. Pergerakan seperti denyutan jantung bayi boleh dinilai dan pengukuran boleh dibuat ke tahap yang sangat tepat berdasarkan imej yang ditunjukkan di skrin. Pengukuran sebegini menjadi asas dalam menentukan usia kandungan, saiz dan tumbesaran bayi yang dikandung.

Perlukah saya menjalani imbasan ultrasound untuk kehamilan?

Imbasan ultrasound kini dianggap sebagai kaedah yang selamat, ‘non invasive’, tepat dan menguntungkan. Ia telah berkembang menjadi satu alat obstetrik yang sangat diperlukan dan berperanan penting dalam penjagaan setiap wanita hamil.

Bolehkan imbasan ini membantu mengenal pasti sebarang masalah berkaitan kehamilan dan bayi?

Ya, imbasan ultrasound dapat membantu mengenal pasti sebarang masalah berkaitan kehamilan dan juga bayi. Ia telah digunakan dengan meluas untuk:
  • Mendiagnos dan menilai kehamilan peringkat awal.
  • ‘Karung’ kehamilan boleh dilihat seawal 4½ minggu kehamilan dan karung yolka lebih kurang pada 5 minggu. Gema dan denyutan jantung janin biasanya dikesan dengan jelas pada 7 minggu kehamilan.
  • Diagnosis awal untuk keguguran yang tidak dikesan, kehamilan ektopi dan kehamilan molar.
  • Mengetahui usia kehamilan dan menilai saiz janin.
  • Kepada pesakit yang tidak pasti mengenai tarikh haidnya yang terakhir, pengukuran ini perlu dibuat secepat mungkin semasa kehamilan untuk menentukan tarikh kelahiran yang betul. Apabila kandungan telah membesar, mengukur parameter badan akan membolehkan anda menilai saiz dan tumbesaran janin. Seterusnya ia amat membantu dalam mendiagnos dan menangani tumbesaran janin yang terbantut.
  • Penentuan kedudukan uri.
  • Mendiagnos kehamilan kembar.
  • Pengesanan Oligohidramnios/Polihidramnios.
  • Pengesanan awal kecacatan janin.
  • Mengesahkan keguguran dan kematian janin dalam rahim.
  • Mengesahkan keadaan janin.
  • Menilai pergerakan janin, tonus dan pernafasan.
  • Mendiagnos sebarang keabnormalan pelvis dan rahim semasa kehamilan seperti wujudnya Sista Ovari, Fibromiomata.

Bilakah masa yang paling sesuai untuk menjalani imbasan ultrasound?

Tiada ketetapan mengenai sekerap manakah anda perlu menjalani imbasan ultrasound semasa hamil. Imbasan diarahkan apabila terdapat sebarang keabnormalan yang disyaki dari segi klinikal. Jikalau tidak, imbasan biasanya dijalankan lebih kurang pada minggu ke tujuh kehamilan untuk mengesahkan kehamilan, kehamilan kembar, menyingkirkan kemungkinan kehamilan ektopi atau molar, mengesahkan denyutan jantung dan mengukur panjang kepalapunggung dari hujung ke hujung untuk menentukan tarikh kelahiran.
Imbasan kedua dilakukan pada 18-20 minggu untuk menentukan kecacatan kongenital dan menentusahkan tarikh kelahiran dan tumbesaran. Imbasan kali ketiga mungkin dilakukan sekitar 34 minggu untuk menilai saiz janin dan tumbesaran janin serta menentusahkan kedudukan plasenta.

Berapa kerapkah saya perlu menjalani imbasan ultrasound?

Bilangan imbasan yang dijalani berbeza-beza bergantung sama ada imbasan yang lalu telah mengesan sebarang keabnormalan yang memerlukan penilaian susulan. Sama ada kehamilan perlu diimbas secara rutin ketika usia kehamilan 18-20 minggu, masih merupakan satu kontroversi.

Adakah imbasan ultrasound selamat untuk bayi saya?

Imbasan ultrasound telah digunakan sejak 35 tahun yang lalu (bermula pada akhir 1950an) ke atas wanita hamil. Berbeza dengan X-ray, pengionan tidak berlaku dan kesan toksik terhadap embrio akibat radiasi adalah tidak relevan dalam hal ini. Penggunaan imbasan ultrasound berintensiti tinggi dikaitkan dengan kesan peronggaan dan pemanasan yang boleh terjadi akibat pengionan yang berpanjangan dalam eksperimen makmal. Bagaimanapun banyak kajian klinikal mengenai penggunaannya untuk diagnosis yang telah diterbitkan dalam jurnal perubatan tidak menunjukkan kesan merbahaya ke atas sel-sel haiwan ujikaji atau manusia. Penemuan dalam satu kajian yang melaporkan bayi yang terdedah kepada imbasan ultrasound mempunyai berat badan lahir yang rendah tidak menunjukkan kebolehberulangan. Namun persetujuan umum menyatakan imbasan ultrasound baik digunakan apabila perlu.

Sumber: Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia


Ultrasound tidak jejas bayi

Mesin pengimbas diguna untuk mengetahui usia, struktur janin, keabnormalan kandungan dan penyakit yang dihidapi.

PERSOALAN yang sering bermain di benak wanita yang pertama kali hamil ialah adakah mesin pengimbas (ultrasound) selamat untuk kandungan? Adakah perkembangan bayi dalam kandungan boleh terencat disebabkan mesin pengimbas itu?
Jawapan paling mudah ialah mesin ultrasound yang sudah digunakan dalam dunia perubatan lebih 30 tahun lalu, tidak memberi sebarang kesan buruk kepada kandungan.
Begitupun, hampir semua pengamal perubatan perbidanan dan sakit puan bersetuju pendedahan bayi dalam kandungan kepada mesin pengimbas jangan terlalu kerap dan lama. Ia juga harus dibuat berdasarkan keperluan dan kepentingan.

Sejak diperkenalkan, teknologi ultrasound sentiasa dipertingkatkan. Jika dulu ultrasound membabitkan 2D, tetapi kebelakangan ini ultrasound 3D dan 4D cukup popular.

Mungkin kebanyakan orang berpendapat, ultrasound hanya digunakan untuk mengetahui jantina anak.
Sebenarnya fungsi ultrasound lebih daripada itu. Ia digunakan pada awal kehamilan untuk menentukan viabiliti (memastikan bayi berada dalam rahim dan pergerakan jantungnya normal).
Selain itu, ia juga berupaya mengesan berapa jumlah kandungan dan menentukan usia kandungan untuk menganggarkan tarikh kelahiran (estimated date of delivery). Dalam inovasi terkini ultrasound pula, 3D dan 4D memberi kelebihan dalam mengesan keabnormalan bayi dalam kandungan.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Fetal Medicine & Gynaecology Centre, Dr S Raman, berkata ramai wanita di Malaysia hari ini berkahwin dan memulakan keluarga pada usia 30 tahun.
Justeru, pada usia ini, tahap kesuburan sebenarnya merosot dan risiko terhadap kelahiran bayi yang memiliki kesilapan kromosom (chromosomal disorder) agak tinggi. Dengan imbasan yang dinamakan ‘nuchal scan’ (dilakukan antara 11 hingga 13 minggu kehamilan) ia digunakan untuk mengesan sindrom down.
Nuchal translucency (NT) menyukat ruang bawah kulit pada leher. Peningkatan dalam ukuran NT meningkatkan risiko sindrom down dan keabnormalan kardiak pada bayi. Dengan menggunakan parameter ini, 83 peratus sindrom down boleh dikesan menerusi imbasan.

Selain itu, menggunakan mesin ultrasound 3D juga, membolehkan kita melihat kelainan pada struktur bayi seperti bibir sumbing atau spina bifida (kecacatan pada tulang belakang). Masalah bibir sumbing, polydactyl (memiliki lebih jari kaki), micrognathis (rahang besar sebelah), telinga yang tidak terbentuk dan lain-lain keabnormalan yang boleh dilihat dari segi luaran fetus lebih terbuka.Begitupun, kualiti imej bergantung kepada keadaan bayi dan jumlah air ketuban di sekelilingnya.

Ada antara keabnormalan yang dilihat boleh diperbetulkan ketika bayi masih dalam kandungan. Bagi keabnormalan yang tidak boleh diperbetulkan, ibu bapa sekurang-kurangnya sudah bersedia secara mental. Bagaimanapun, apakah imbasan menerusi 3D dan 4D menjadi kemestian kepada setiap wanita hamil atau sekadar keperluan ‘mewah’ yang sentiasa mencari jalan untuk menggoda pengguna?

Apatah lagi, kadar untuk imbasan 3D dan 4D dianggap mahal dan bukan boleh dipenuhi oleh setiap pengguna.

Kemunculan ultrasound dengan inovasi terkini bunyinya memang menguntungkan pihak pengguna. Bagi ibu bapa muda, melihat pergerakan, wajah dan mengikuti perkembangannya setiap bulan tentu saja mengujakan.

Bagi ibu bapa yang pernah dikurniakan anak bermasalah dari segi fizikal, tentu saja 3D membuat mereka ingin tahu adakah kelahiran kedua akan sama seperti sebelum itu.

Teknik imbasan 3D juga dikatakan mengeratkan lagi kasih sayang antara ibu dan anak sebelum dia dilahirkan. Begitupun, tidak semua pakar perbidanan menganggap ultrasound 3D atau 4D ini ‘mandatori’ dan bakal mengambilalih imbasan konvensional 2D. Ada sesetengah diagnosis masih boleh dibuat menerusi 2D.

Bagi ibu yang tidak memiliki rekod kelahiran atau kesihatan yang abnormal, kebanyakan mereka yakin akan melahirkan bayi sihat tanpa perlu imbasan menerusi 3D. Justeru, pilihan terbaik di tangan anda.

Sumber: Berita Harian, 10/12/2006

Kontraksi Braxton’s Hicks (BH)

11:20 AM 0 Comments A+ a-


Dalam minggu lepas dan minggu ni saya ada terasa sakit dan tak selesa sekejap2 pada bahagian ari2. Kadang2 rasa macam baby dah nak terkeluar. Tiba2 saya teringat Mummy Dasy bagitau pasal Braxton’s Hicks (BH). Saya pun cepat2 menggoogle dan hasilnya saya dapat info kat bawah tu. Memang ada persamaan dengan apa yang saya alami. Harap2 tak mendatang apa2 yang memudaratkan. Semoga Allah memberikan petunjuk dan tanda2 bersalin yang mudah untuk saya lebih bersedia. Amin :)

credit pic to en.google

Apabila kehamilan anda semakin sampai kepenghujungnya, anda akan mula perasan ketegangan pada perut anda. Ia dipanggil kontraksi Braxton’s Hick dan salah satu simtom kehamilan yang kerap terjadi kepada wanita hamil.

Ia selalunya terjadi 2-3 kali setiap jam dan dalam 1-2 min setiap kali. Braxton Hicks dinamakan sempena sempena pakar perubatan yang mula menjumpainya pada tahun 1972.
Ia terjadi seawal 6 minggu kehamilan akan tetapi ramai wanita tidak menyedari kewujudan kontraksi ini kerana ia sangat ringan dan singkat.

Apabila kandungan anda semakin berusia, kontraksi ini akan menjadi semakin kerap dan kuat dan kadang-kadang ia menyakitkan. Ia sebenarnya menyediakan ibu hamil kearah kelahiran dengan menolong melembutkan serviks dan menyenangkan ia untuk terbuka semasa proses bersalin.

Bagaimana Rasanya Kontraksi Braxton Hick Ini?

Sesetengah wanita tidak merasa sakit langsung namun ada segilintir yang merasa BH yang lebih kuat. Selalunya ia tidak menyakitkan, atau wanita mungkin merasa sedikit tidak selesa dan memberi gangguan pada mereka. Semakin dekat kepada tarikh jangka bersalin, semakin kuat BH ini berlaku.
Kontraksi BH tidak teratur dan datang sekali-sekali dan selalunya dengan tiba-tiba. Ia datang dalam masa yang singkat dan jarang berterusan selama beberapa jam.

Semasa kontraksi BH ini, perut menjadi tegang dan keras kadang-kadang ibu mungkin terasa sakit pada tengah perut hingga ke ari-ari.

Anda mungkin perasaan yang kontraks ini lebih kerap terjadi apabila:
  • Bayi bergerak dengan aktif
  • Semasa senaman atau membawa barang berat
  • Mengurut perut
  • Semasa hubungan seks
  • Dehidrasi
Apa Yang Membezakan BH dan Kontraksi Kelahiran Sebenar?

Ramai wanita bimbang yang mereka tidak dapat membezakan BH atau tanda-tanda kelahiran. Ini adalah perbezaannya:
  • Kontraksi BH tidak menjadi semakin kuat berbeza dengan sakit bersalin. Sakit bersalin menjadi semakin kuat dan kerap manakala BH akan hilang akhirnya
  • BH tidak teratur dan berlaku sekali-sekala. Sakit bersalin berlaku dengan lebih teratur dan semakin kuat
  • Kontraksi BH tidak menyebabkan kesakitan cuma tidak selesa tidak sebagaimana sakit bersalin
Tip Untuk Kekal Selesa Semasa Kontraksi BH
  • Tukar aktiviti atau posisi sekiranya anda merasa yang kontraksi BH akan datang
  • Rehat lebih lama. Minum air dan baring pada sebelah kiri badan
  • Minum air secukupnya. Dehidrasi menyebakan otot mengecut dan menyebabkaan kontraksi BH
  • Buang air kecil dengan lebih kerap. Pundi kencing yang penuh boleh menyebabkan BH.
  • Amalkan teknik pernafasan. Pernafasan yang dalam dan berirama akan mengurangkan ketidakselesaan

Credit Info: Portal Alam Hamil

Perkembangan Fetus – Hamil 33 Minggu

11:28 AM 0 Comments A+ a-

Perkembangan Fetus – Hamil 33 Minggu
[Credit info: Baby Center Malaysia]

kulit tengkorak

Berat bayi anda sekarang 4.2 paun / 2 kilogram dan panjangnya ialah lebih kurang 17 inci / 44 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Bayi anda sepatutnya sedang bersiap sedia untuk dilahirkan dengan menunggangbalikkan badannya – kepala harus sudah menjunam ke bawah.

Doktor anda akan memberi perhatian yang rapi kepada posisi bayi dalam minggu-minggu yang akan datang ini – sebab sesetengah bayi kadangkala suka memusing balik semula.

Tengkorak bayi masih mudah dilentur dan belum lagi bertaut, untuk membolehkannya keluar dari kanal lahir yang agak sempit. Tetapi tulang di bahagian-bahagian lain dalam tubuhnya bertambah keras. Kulit bayi anda mula hilang kemerahannya dan kurang berkedut.

Jika anda ibu buat pertama kali, kepala bayi anda akan bergerak masuk ke dalam pelvis di minggu ini dan menekan serviks dengan kuat. (Ini sering berlaku kepada setengah daripada ibu-ibu yang melahirkan pertama kali.) Jika anda ibu buat kali kedua, ianya akan berlaku seminggu sebelum kelahiran – dan untuk sebilangan ibu, ianya tidak berlaku sehingga sakit bersalin dan melahirkan bermula. Adakah anda bercadang untuk menangani sakit bersalin secara natural? Di sini terdapat semua yang anda perlu tahu tentang kelegaan sakit secara natural.

Anda mungkin ternampak bahawa kaki dan pergelangan kaki anda menjadi bengkak menjelang ke petang. Retensi air, juga dikenali sebagai edema, adalah lebih teruk semasa cuaca panas dan di sebelah petang. Hairannya, banyak meminum air membantu mengurangkan retensi air. Badan anda – terutama sekali buah pinggang anda – dan bayi anda juga memerlukan banyak cecair, jadi minumlah air dengan banyak. Jika anda terasa bengkak-bengkak atau sembap di tangan atau muka dengan tiba-tiba, berhubunglah dengan doktor anda – ini mungkin tanda pra-eklampsia.